Isnin, 6 Julai 2009

Mencari Keberkatan Waktu

Kilat sabung menyabung. Petir dan guruh saling berlumba. Bayu pula tidak mahu mengalah; garang menerjah, malah sibuk hembus menghembus, menerbangkan apa sahaja yang tidak berpaut, tidak berakar di muka bumi Tuhan ini. Wah, seakan ada pesta bunuh membunuh syaitan laknatulah berlangsung di sini. Berlari deras-deras, terbongkok-bongkok melompat segala lecak dan becak yang bertakungan dalam sesingkat waktu sahaja, aku lekas-lekas mencari tempat berteduh.

“Rasulullah SAW bersabda, “Empat perkara yang akan ditanya oleh ALLAH SWT pada hari kiamat adalah: Umur, masa remaja (muda), harta dan ilmu.”




Hujan yang turun mengaum kelaparan. Lebat. Deras. Membasahkan setiap yang bermukim tanpa naungan dan teduhan. Menggeletar, aku kesejukan. Angin yang bertiup keras mencakar-cakar batang pohon Maple di sisiku tanpa belas kasihan langsung menggoncangkan ranting-ranting yang mudah sahaja meluruhkan daun-daun maple yang berbucu-bucu berbentuk seperti bintang separuh itu.

“Pernah pada suatu ketika, saat Saidina Umar R.A. baru hendak melelapkan mata, tiba-tiba muncul seorang utusan mengetuk pintu rumah baginda. Lantas beliau bangkit dari pembaringan dan segera bertemu dengan utusan tersebut seraya berkata : “Bagaimanakah aku boleh tidur, sedangkan ada hak yang perlu aku tunaikan? Dan bagaimana aku boleh tidur di waktu malam sedangkan aku perlu menunaikan hak Allah?”

Boom!!!
Panahan kilat dan petir dari langit hampir-hampir mengenai tempat aku berpijak. Tidak berganjak, aku sekadar membatu melihat kesan panahan tersebut. Ya Tuhan, kelajuan degupan jantungku melangkaui had normal. Setiap debaran menambahkan kecelaruan, menjanjikan ketidaktenangan. Syaitan manakah yang menumpang teduh bersamaku ini? Mengawal perasaan sambil beristighfar, aku melihat ke atas. Gelap. Telefon bimbit yang kubawa tidak dapat selamanya bertahan memberikan cahaya. Bakal padam bila-bila masa sahaja.

“Dua nikmat yang manusia sering lupa adalah nikmat SIHAT danMASA LAPANG. Ramai yang berkorban harta benda, wang ringgit demi menjaga kesihatan, menunjukkan betapa sihat itu amat penting bagi manusia”

Mengapa aku berlari pulang pada waktu-waktu begini? Sudah tahu hujan bakal turun, mengapa tidak aku sediakan payung? Malah seorang diri pula? Hujan ini. Bila mahu surut agaknya? Seperti tidak akan reda. Dan guruh yang berdentuman ini, semacam tertawa ria melihat aku mengerekot menahan kesejukan di sisi batang pohon maple yang sedang mula menguning daun-daunnya ini.

“Mengapa seringkali kita merasa tidak cukup waktu? Sedangkan pasti dan pasti setiap kita diberi masa yang secukupnya, malah sama rata bagi setiap manusia. Acapkali pula kita mengeluh kerana kekurangan masa. Kenapa? Mengapa terjadi perkara seperti ini?"

“Kerana tiada BERKAT di dalam waktumu.”

Prak!!
Allahuakbar! Terasa luruh jantungku jatuh berdebuk seperti nangka busuk. Entah kayu apa, ranting mana atau batang reputkah yang mendarat cemas di hadapanku? Cis, iblis laknatullah mana pula yang bergayutan bersembunyi di atas ini. Sengaja menegakkan roma-romaku naik terpacak dalam hawa sejuk-sejuk begini. Tidak boleh. Aku tidak boleh lama di sini. Aku harus pulang, harus segera berlari pulang. Biar lencun kebasahan seketika dari lama di sini bermain perasaan menahan seram dan melawan kedinginan. Aku memandang ke hadapan. Melihat-lihat susuk jalan yang harus aku lalui. Aduhai. Kegelapan menguasai pekat malam. Cahaya bulan pula sama-samar menerangi. Bagaimana mahu pulang? Aku tidak nampak jalan. Oh Tuhan, bantu aku.

“Mencari keberkatan waktu itu ada tujuh cara iaitu dengan:

1) Meninggalkan maksiat
2) Meningkatkan ketaatan
3) Menjaga solat di awal waktu


“Rasulullah SAW bersabda : Orang yang paling bagus adalah yangapabila habis waktu solat, dia menantikan waktu solat yang seterusnya


4) Membaca Al-Quran
5) Tidak tidur selepas solat subuh
6) Memperbanyakkan menuntut ilmu
7) Menjaga makanan yang dimakan


Tiba-tiba terasa hangat menjalar ke seluruh tubuhku. Panas. Pohon Maple di sebelahku terang benderang jingga kekuningan pucuknya dijilat api yang marak entah dari mana. Titis hujan terakhir meluncur turun dari hujung-hujung daun Maple terus mengenai batang hidungku. Sambil mengesat dengan hujung lengan baju yang basah kesat, aku melihat-lihat sekeliling. Serasanya aku tidak sedar bila dan bagaimana petir menyambar pohon tempat aku mencari teduh ini. Dalam samar kecerahan itu, aku dapat melihat tiang kayu yang menampung wayar-wayar elektrik di tepi jalan berhampiran jatuh seakan tersungkur menimpa bahagian barat pohon itu. Tumbang ditimpa angin mungkin. Hujan pula entah bila sudah berhenti.

****************

“Ouch!”

Pedih hujung jari kelingkingku terkena bilah-bilah pemanas elektrik yang dipasang di bahagian belakang masjid ini. Tak ku perasan, pemanas ini sudah sampai suhu yang sangat tinggi dan aku masih lagi duduk berhampirannya.

“Apsal kau ni?”

“Tak ada apa.” Aku menyedekahkan sebuah senyuman yang mampu ku ukir saat itu. Kelat. Pandangan kembali ku hala ke hadapan. Tazkirah dari Brother Arnus, pelajar tahun 6 dari Jordan itu ku dengar antara faham dan tidak.

“Orang yang bijak adalah orang yang selalu muhasabah dan melakukan perkara yang berguna untuk hari akhirat. Manakala orang kafir yang tidak mahu berusaha mencari kebenaran adalah seperti haiwan ternakan. Hidupnya hanya untuk makan dan minum sehari-harian tanpa perlu memikirkan tujuan sebenar kehidupan di dunia.”

**********************

Lambat. Aku terlambat. Tentu sudah banyak yang terlepas. Aduhai, kenapa tidak bersiap sedari awal tadi. Malu pula mahu masuk jika sudah lambat begini.

“Kreeekkkk,” berbunyi pula pintu yang satu ini.

Sudah masuk. Mencari tempat duduk. Ah, belakang ini kosong, tapi pandangan jelas ke hadapan. Cantik.

“Tajuk apa ya, hari ni?”


“Entah. Tak pastilah. Masa. Pasal masa. Kenapa selalu tak cukup masa.”

Kaboom!! Terasa bagai dipanah petir mendengar perkataan masa. Terasa suatu perlian yang amat sangat pedih. Bisa sungguh rasanya. Topik ini tepat mengenai batang hidungku sendiri. Tepat! Ibarat meludah ke langit jatuh semula ke muka (kalau tak elaklah).

********************

“Jadi, bagaimana mahu mengurus waktu?”

“Pertama, mesti ada jadual waktu-tulis lepas ni mahu buat apa, dan apa. Kemudian mesti kena ada matlamat, seterusnya perlu ada kawan yang baik-yang selalu mendorong untuk berbuat kebaikan dan tidak mengajak untuk berbuat perkara yang tidak berfaedah, yang membuang masa kita, dan akhir sekali, perlu ada cita-cita. InsyaAllah kita akan dapat kejayaan, akan buat lebih kebaikan dan dapat jadi orang yang lebih beruntung.”

“Kemudian,” tambahnya lagi.

“Masa lapang itu sebenarnya adalah masa yang tidak kita gunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah.”

Brother Arnus merupakan pelajar terbaik dalam tahunnya. Maka tidak hairanlah tazkirah-tazkirah beliau berisi sedikit nasihat dan motivasi untuk belajar dengan lebih baik. Beliau menyampaikan dalam bahasa Arab yang jelas dengan suaranya yang lantang. Kemudian diterjemahkan oleh Saudara Ali dengan bahasa Melayu yang mudah difahami. Sayang saya turun lambat hari ini. Entah apa sahaja yang sudah saya tinggalkan. Kerana tidak mengurus waktu dengan baik dan sering merungut tidak kecukupan waktu, saya kerugian masa-masa yang amat berharga. Dan rupanya, saya punya banyak masa lapang yang tidak saya gunakan dengan baik. Padan muka saya!

(Teringat Imam Nawawi rahimahullahu ta’la yang umurnya tidak panjang, kalau tidak silap saya tidak sampai 45 tahun pun, tetapi telah berjaya menghasilkan banyak buku, malahan ‘Hadith 40’karangan beliau itu menjadi rujukan umat Islam sehingga ke hari ini.Mampukah kita menjadi seperti beliau? Tepuk dada tanyalah diri sendiri).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Waktu Solat Bagi Zon 2 Negeri Perak (Kerian, Larut, Matang, Selama, Perak Tgh, Hilir Perak, Manjong)

Selamat Tahun Baru 1431 Hijrah dan 2010Masihi

Bancian Pelawat (Visitors Traffic)